Nuclear Abolition News and Analysis

Reporting the underreported threat of nuclear weapens and efforts by those striving for a nuclear free world.
A project of The Non-Profit International Press Syndicate Group with IDN as flagship agency in partnership with Soka Gakkai International in consultative
status with ECOSOC.

logo_idn_top
logo_sgi_top

Watch out for our new project website https://www.nuclear-abolition.com/

About us

TOWARD A NUCLEAR FREE WORLD was first launched in 2009 with a view to raising and strengthening public awareness of the urgent need for non-proliferation and ushering in a world free of nuclear weapons. Read more

IDN Global News

Saudi Arabia’s Long-Term Goal of Going Nuclear – With U.S. Backing – Malay

Matlamat Jangka Panjang Arab Saudi Untuk Memiliki Tenaga Nuklear – Dengan Sokongan A.S.

Oleh Shanta Roy

NEW YORK (IDN) – Perhubungan di antara pihak pentadbiran Trump dengan Arab Saudi yang semakin mesra telah membawa kepada spekulasi meluas bahawa Amerika Syarikat mungkin membantu Arab Saudi – secara langsung atau tidak – mencapai matlamat jangka panjang mereka untuk mendapatkan senjata nuklear.

Spekulasi telah dicetuskan oleh perundingan rahsia yang sedang berjalan di antara dua negara ini untuk membantu Arab Saudi mendapatkan akses ke tenaga nuklear dalam cadangan perjanjian yang dianggarkan berjumlah $80 bilion, menurut laporan muka hadapan dalam New York Times 23 November.

Arkitek utamanya ialah Putera Mahkota Arab Saudi yang serba berkuasa, Mohammed bin Salman, di mana rancangan asal beliau termasuk membina 16 buah loji janakuasa nuklear – yang akhirnya dikurangkan menjadi dua – dalam tempoh dua dekad yang akan datang.

Dalam analisis terperinci pelan Arab Saudi ini, Times mengusulkan soalan: “Adakah baginda putera membuat persediaan asas untuk membina bom atom?”

Tariq Rauf, bekas Ketua Koordinasi Penentusahan dan Dasar Keselamatan di Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), memberitahu IDN, minat rasmi Arab Saudi dalam loji janakuasa nuklear bermula semenjak tahun 2006, apabila negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) mengumumkan kajian ke atas penggunaan tenaga nuklear secara aman dalam kerjasama dengan Perancis.

Dilaporkan bahawa Arab Saudi merancang untuk membina dua buah stesen janakuasa nuklear besar dalam tempoh 20-25 tahun akan datang pada kos yang dianggarkan sebanyak AS$80 bilion.

Beliau menekankan bahawa Bandar Raya untuk Tenaga Atom dan Boleh Baharu Raja Abdullah (KA-CARE) telah ditubuhkan dengan Perintah Diraja Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud pada 17 April 2010. Dalam bulan Julai 2017, Kabinet Diraja meluluskan penubuhan Projek Tenaga Atom Kebangsaan Arab Saudi (SNAEP).

Dalam bulan April 2016, ujar Rauf, Arab Saudi mengumumkan “Wawasan 2030” yang termasuk campuran tenaga di mana tenaga nuklear mempunyai peranan utama.

SNAEP mendesak sebuah program nuklear diadakan berdasarkan: (1) stesen janakuasa nuklear besar; (2) reaktor nuklear bermodul kecil; dan, (3) kitaran bahan bakar nuklear termasuk perlombongan uranium dan thorium dan peringkat-peringkat selanjutnya melalui pemerkayaan uranium.

Sebuah Syarikat Pemegang Nuklear (NHC) dijangka ditubuhkan untuk fungsi-fungsi ini.

Rauf juga berkata Arab Saudi telah ada perjanjian kerjasama nuklear dengan Argentina, China, Perancis, Rusia dan Korea Selatan; dan dilaporkan sedang mengejar perjanjian kerjasama nuklear dengan Republik Czech Republic, UK dan A.S.

Soalan yang tidak kurang juga pentingnya ialah: mengapakah sebuah negara yang secara unggulnya sesuai untuk tenaga solar memerlukan tenaga nuklear? Adakah keperluan yang kedua itu sekadar penyamaran untuk secara mutlaknya mengeluarkan senjata nuklear?

Dr M.V. Ramana, Simons Pengerusi dalam Keselamatan Pelucutan Senjata, Global dan Manusia di Sekolah Dasar Awam dan Hal Ehwal Global di University of British Columbia, memberitahu IDN, tindakan pihak pentadbiran Trump menunjukkan bahawa ia sekali lagi meletakkan keuntungan untuk syarikat yang ia gemari mengatasi sebarang pertimbangan lain, termasuk keselamatan dan kelestarian alam sekitar.

“Urusan ini adalah lebih tidak wajar lagi kerana tenaga nuklear ialah sumber elektrik yang sedang menurun di seluruh dunia.”

Beliau menyatakan bahawa tenaga nuklear juga tidak masuk akal untuk Arab Saudi kerana Kerajaan itu boleh menjana tenaga elektrik secara jauh lebih berkesan dengan tenaga solar dan angin. 

“Arab Saudi mempunyai salah satu sumber Penyinaran Normal Terus di dunia. Oleh itu, untuk Arab Saudi mencadangkan membina loji nuklear dan untuk pihak pentadbiran Trump menyokong usaha ini adalah menjelikkan,” ujar beliau. [ Lawati juga https://www.princeton.edu/~ramana/Saudi-Nuclear-Economics-2014.pdf]

Sementara itu, presiden A.S. tetap terus berbolak-balik terhadap kontroversi yang tiada hentinya tentang pembunuhan wartawan Arab Saudi, Jamal Ahmad Khashoggi, yang telah dibunuh dan mayatnya dipotong-potong dengan gergaji tulang, di Konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki, bulan lepas (Oktober).

Mengenepikan penilaian oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA), yang menuding jari menuduh Baginda Putera sebagai dalang di sebalik pembunuhan itu, Trump memberitahu wartawan: “Mungkin dia bunuh mungkin dia tidak”.

Beliau juga memerihalkan Arab Saudi sebagai rakan ekonomi dan strategik, sumber minyak yang utama, pelanggan senjata Amerika yang bernilai dan sekutu berguna menentang Iran.

Brad Sherman, Ahli Kongres Demokratik dari California dan ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Luar, menempelak: “Sebuah negara yang tidak boleh dipercayai dengan gergaji tulang tidak seharusnya dipercayai dengan senjata nuklear.”

Tentang pelan masa depan Arab Saudi, Rauf berkata, dilaporkan bahawa Arab Saudi sedang mencari perjanjian kerjasama nuklear (atau 123) dengan A.S. yang tidak akan menjejaskan atau mengehadkan hak-hak Arab Saudi di bawah Artikel IV untuk Perjanjian Tidak Menambah nuklear (NPT) untuk membangunkan kitaran bahan bakar nuklear lengkap yang mungkin mengandungi pemerkayaan uranium dan pemprosesan semula bahan bakar nuklear terpakai/yang telah digunakan.

Ini, katanya, tidak seperti yang dirumuskan oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dengan A.S. di mana UAE komited untuk tidak membangunkan pemerkayaan atau keupayaan memproses semula dan untuk membeli bahan bakar nuklear untuk reaktor-reaktornya daripada pasaran nuklear global (dirujuk sebagai “standard emas”).

Di bawah pentadbiran Obama, A.S. mendesak Arab Saudi untuk menyelesaikan perjanjian 123 berdasarkan apa yang dipanggil sebagai “standard emas’ tetapi kini di bawah rejim Trump, laporan mencadangkan bahawa A.S. mungkin menyelesaikan perjanjian dengan Arab Saudi yang mungkin tidak melarang pemerkayaan dan pemprosesan semula?, ujar Rauf.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata bahawa pada 16 Jun 2005, Arab Saudi menandatangani sebuah perjanjian penjagaan keselamatan (Penentusahan nuklear) dengan IAEA menurut NPT tetapi perjanjian ini memasukkan “Protokol Kuantiti Kecil” di mana di bawahnya IAEA telah menggantung penentusahan nuklear di Arab Saudi sehingga tiba masa negara itu mempunyai bahan nuklear dan kemudahan nuklear.

“Perjanjian penjagaan keselamatan berkuatkuasa pada 13 Januari 2009 dan mulai tarikh itu hingga sekarang IAEA telah tidak menjalankan apa-apa pemeriksaan penjagaan keselamatan di Arab Saudi,” beliau berkata. [IDN-InDepthNews – 30 November 2018]

Search

Newsletter

Report & Newsletter

Toward a World Without Nuclear Weapons 2022

Scroll to Top